fb fb fb fb fb

Tiga sahabat sesat di hutan Pulau Kerengga ditemukan selamat

Tiga sahabat yang dilaporkan tersesat di hutan Kampung Pulau Kerengga, di Marang pada Sabtu ditemukan dalam keadaan selamat pagi tadi kira-kira empat kilometer dari pos kawalan bencana. / Foto ihsan JBPM

MARANG, 31 Mac - Tiga sahabat yang dilaporkan tersesat di hutan Kampung Pulau Kerengga, di sini pada Sabtu ditemukan dalam keadaan selamat pagi tadi kira-kira empat kilometer dari pos kawalan bencana.

Komanden Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Che Mohd Badrul Isham Che Mohd Noor berkata ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Mohamad Adam Ajmal Zainudin berusia 15 tahun, Mohamad Haris Kamarudin dan Muhamad Amirul Haziq Selamat masing-masing berusia 16 tahun.

"Mereka ditemui oleh salah seorang bapa mangsa bersama pasukan penyelamat dalam keadaan lemah dan mengalami luka kecil di badan," katanya.

Pada kejadian kira-kira pukul empat petang, tiga remaja tersebut dilaporkan tersesat dan gagal menemui jalan pulang selepas memikat ayam hutan.

Operasi pencarian dilakukan pada pukul lima petang dengan kekuatan 48 ahli pasukan Bomba, Polis serta penduduk kampung.

Kesemua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang untuk pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN