fb fb fb fb fb

Tiga RUU hal ehwal Islam dibentangkan untuk bacaan kali pertama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Julai- Tiga Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pentadbiran hal ehwal Islam dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU tersebut ialah RUU Mufti (Wilayah-Wilayah) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024, dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

Rang undang-undang berkenaan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan.

Menerusi naskah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu antara lain memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tatacara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.

Ia juga memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.

RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 bertujuan meminda Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 untuk memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam di kawasan berkenaan.

Manakala, RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 pula bagi meminda Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD