
MIRI, 9 Januari – Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sekitar kawasan Senadin dan Tudan susulan banjir yang melanda beberapa kawasan rendah di bandar itu sejak lewat malam tadi.
- Tiga PPS dibuka di Senadin dan Tudan untuk menampung penduduk terjejas akibat hujan berterusan dan fenomena air pasang.
- Penduduk kawasan rendah diminta segera berpindah ke PPS untuk keselamatan dan melindungi dokumen penting.
- Agensi teknikal diarahkan periksa sistem perparitan; beberapa laluan dilimpahi namun masih boleh dilalui setakat ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pembukaan PPS dibuat selepas paras air meningkat berikutan hujan berterusan sejak semalam ditambah fenomena air pasang.
“Hujan masih berterusan dan kita meminta penduduk di kawasan rendah, khususnya di kawasan yang telah dinaiki air atau berisiko banjir, supaya berpindah ke PPS yang disediakan. Ini terutama melibatkan kawasan Tudan, Pujut dan Tanjung Batu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika meninjau keadaan banjir Dan melawat PPS di Kawasan Senadin Miri.
Tiga PPS kini beroperasi, iaitu Dewan Pusat Komuniti Tudan Fasa 4, Masjid Darul Iman Kampung Tudan Fasa 2A dan Dewan Pujut Tanjung Batu.
Penduduk di kawasan rendah dinasihatkan supaya terus berwaspada dan segera berpindah sekiranya paras air terus meningkat.
Pasukan teknikal termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan memeriksa sistem perparitan di lokasi terjejas.
Keadaan banjir turut dikesan di beberapa laluan utama dan kawasan berhampiran lereng bukit, namun setakat ini masih boleh dilalui.
Manakala penduduk terjejas di PPS Dewan Kampung Tudan Fasa 4 Nornasyilla Abdullah berkata, kawasan kediamannya sering dinaiki air dengan cepat ketika hujan lebat berterusan, menyebabkan mereka terpaksa berlindung di pusat pemindahan.
“Kawasan tempat tinggal saya memang cepat dinaiki air apabila hujan berterusan. Sebab itu kami terpaksa berpindah dan bermalam di dewan ini,” katanya.
Sementara itu Nurasikin Din, turut menegaskan tindakan berpindah awal penting bagi mengelakkan sebarang risiko.
“Kali ini air naik dengan cepat, jadi kami mengambil langkah berpindah ke dewan bagi keselamatan serta menyelamatkan dokumen penting,” katanya.
Setakat pukul 5.30 petang tadi, Masjid Darul Iman menempatkan 35 penduduk terjejas, PPS Dewan Komuniti Tudan Fasa 4 (64) dan Dewan Pujut Tanjung Batu 1 (tujuh).