fb fb fb fb fb

Tiga PPS dibuka di Sungai Petani

APM Kedah membawa penduduk terjejas banjir ke beberapa PPS di Sungai Petani

SUNGAI PETANI, 30 Oktober- Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sini berikutan hujan lebat di beberapa lokasi di Sungai Petani semalam.

Tiga PPS itu ialah di Dewan UMNO Kampung Bukit Belah menempatkan 20 penduduk terjejas banjir daripada enam keluarga, Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJKC Min Terk dengan 84 penduduk terjejas banjir daripada 28 keluarga dan Dewan Masjid AL Huda Kampung Jerung dengan sebuah keluarga melibatkan enam mangsa dengan keseluruhan 35 keluarga ,110 penduduk terjejas banjir.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten (PA) Azahar Ahmad, jumlah keluarga dan penduduk terjejas banjir terlibat bagi ketiga-tiga lokasi berkenaan ditempatkan masih dalam bancian.

Proses perpindahan penduduk telah dilakukan di kawasan terjejas banjir berikutan hujan lebat sejak pukul 5.30 petang semalam menyebabkan limpahan selain air pasang besar berlaku.

"Disebabkan itu, paras kedalaman air meningkat setinggi antara 0.3 meter hingga 0.5 meter.

"Proses perpindahan mangsa sudah dijalankan di kawasan terjejas dengan menggunakan bot penyelamat dan diuruskan pelbagai agensi," katanya lagi.

Banjir kilat pada petang Ahad turut menyebabkan Mukim Gurun, Sungai Petani dan Sungai Pasir dan Sidam Kiri dinaiki air.

Dalam pada itu ahli Parlimen Sungai Petani Dr Taufiq Johari turut ke lokasi banjir di sekitar Sungai Petani sebelum ke sidang parlimen hari ini di ibu negara untuk melihat sendiri keadaan itu serta laporan daripada APM Kedah.

Keadaan masih terkawal dan kebanyakan penduduk terjejas selamat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Selain itu Taufiq juga minta pegawainya untuk segera membawa makanan untuk petugas-petugas yang terlibat.

Taufiq juga menghargai pasukan APM Negeri Kedah, Bomba Sukarela, ADUN kawasan, RELA, PDRM dan semua yang bekerjasama terlibat membantu dalam situasi banjir berlaku.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI