
KUALA LUMPUR, 27 Januari – Dua penumpang dan seorang kakitangan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mengalami kecederaan ringan pada bahu dan lutut selepas sebuah tren berhenti secara mengejut berhampiran Stesen KL Sentral, pagi tadi.
- Dua penumpang dan seorang kakitangan Rapid Rail cedera ringan selepas tren berhenti mengejut berhampiran Stesen KL Sentral.
- Insiden berlaku apabila tren nombor 52 mengaktifkan sistem keselamatan automatik ketika menghampiri stesen.
- Mangsa diberi rawatan awal di stesen dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.
- Tren dikeluarkan dari perkhidmatan untuk pemeriksaan dan penyelenggaraan; Rapid Rail tekankan keselamatan operasi.
Menerusi satu kenyataan, Rapid Rail memaklumkan insiden yang berlaku pada pukul 8.45 pagi itu, tren bernombor 52 yang dalam perjalanan ke Stesen Putra Heights telah mengaktifkan sistem keselamatan automatik ketika menghampiri stesen berkenaan.
Mereka bagaimanapun tidak menyatakan punca sebenar kejadian itu berlaku.
“Petugas di Stesen KL Sentral bertindak pantas dengan memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.
“Tren berkenaan telah dikeluarkan daripada perkhidmatan bagi menjalani pemeriksaan terperinci serta kerja-kerja penyelenggaraan yang diperlukan selaras dengan prosedur operasi standard syarikat,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Rapid Rail berkata pengaktifan sistem Emergency Brake menunjukkan ciri keselamatan tren berfungsi sebagaimana direka bagi melindungi keselamatan penumpang serta operasi tren.
Sistem Emergency Brake merupakan ciri keselamatan utama yang akan menghentikan tren secara automatik apabila mengesan sebarang keadaan berisiko di dalam atau di hadapan tren, sekali gus mencegah situasi yang lebih serius
Rapid Rail turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh aspek keselamatan dan penyelenggaraan bagi memastikan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan selesa kepada semua pengguna.