KUALA NERUS, 16 Januari- Kejadian tiga pekerja sebuah restoran di Gong Badak, Kuala Nerus yang pengsan pagi tadi dipercayai berpunca dari kebocoran gas karbon monoksida di premis tersebut.
Kebocoran itu dipercayai berpunca dari bahagian penyejuk yang menyimpan bahan mentah dan bahan masakan yang lain.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd berkata, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya HAZMAT dan CBRNE dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh telah menjalankan siasatan dan pengesanan secara teliti sebaik tiba di premis itu.
Hasil ujian pengesanan gas menggunakan 'GFG 4 gas meter' mendapati bacaan kandungan gas karbon monoksida yang tinggi dicatatkan berhampiran penyejuk tersebut.
"Apabila pihak bomba bersama 13 anggota tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati tiga mangsa iaitu pekerja telah pengsan dan telah dibawa ke hospital dengan dua buah ambulans.
"Setakat ini kita telah telah mengosongkan kawasan di depan dan belakang bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku," katanya.
Beliau ditemui selepas meninjau lokasi berkenaan bersama Ketua Balai Bomba Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar.
Terdahulu pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.48 pagi tadi.
Panggilan dibuat seorang pekerja setelah melihat tiga rakannya pengsan seorang demi seorang, namun dia terselamat kerana memakai pelitup muka.