KUALA KEDAH, 14 Januari-Tiga nelayan warga negara ini yang kini berada di Indonesia telah diserahkan kepada pihak Imigresen negara itu untuk proses dokumentasi.
Sebelum ini, bot yang mereka gunakan hanyut sehingga ke perairan Indonesia ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Pulau Payar, berdekatan Langkawi pada Khamis lalu.
Tiga nelayan itu diserahkan oleh Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia BASARNAS.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Romli Mustafa memaklumkan pihak Maritime Rescue Sub-Centre MRSC Putrajaya akan berhubung dengan Kementerian Luar Negeri dan pihak kedutaan untuk urusan membawa pulang mangsa.
Sebelum ini, ketiga-tiga mangsa termasuklah dua beranak, Asrulhisham Zainon, 47 tahun dan anak bongsunya, Mohd Aiman, 16 tahun serta rakan mereka Mohamad Al-Amin Sufian, 29 tahun dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Pulau Payar.