fb fb fb fb fb

Tiga bot asing disyaki menangkap ikan secara haram ditahan di sekitar perairan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 27 April- Sebuah bot nelayan asing dan dua bot nelayan tempatan beserta 30 kru warga Vietnam tanpa dokumen sah ditahan dalam rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Naga Barat di sekitar perairan Terengganu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, ketiga-tiga bot berkenaan ditahan pada kedudukan antara 26 hingga 110 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Jelas beliau, kesemua tekong yang ditahan gagal mengemukakan dokumen kebenaran yang sah dan disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.

"Bot pertama membawa 15 kru termasuk tekong dengan nombor pendaftaran asing ditahan sekitar pukul 12 tengah hari Isnin lalu di kedudukan lebih kurang 110 batu nautika timur Kuala Terengganu.

Bot kedua dinaiki 10 kru, ditahan tengahari semalam di kedudukan lebih kurang 62 batu nautika timur laut Kuala Terengganu dan bot ketiga dengan lima kru ditahan pada pukul tujuh malam hari yang sama di kedudukan 26 batu nautika dari Kuala Terengganu," katanya dalam sidang media di sini.

(Salah sebuah bot yang ditahan disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara)

Tambah beliau, semua kru yang ditahan berusia antara 19 hingga 58 tahun.

Dalam operasi itu, pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan, 3,000 liter diesel dan 500 kilogram ikan campur yang dianggar bernilai RM4.5 juta.

Kesemua mereka ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Media Baharu