
Kampung Kolam, Pak Badol, Bachok
BACHOK, 12 April – Tiga blok bangunan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Ulum Muhammadiah, Kampung Kolam, Pak Badol di sini musnah dalam satu kebakaran petang tadi.
- Balai bomba terima panggilan kecemasan pada 3.37 petang; jentera pertama tiba kira-kira 19 minit kemudian.
- Kemusnahan berbeza mengikut blok: hampir 98 peratus, sekitar 80 peratus dan kira-kira 30 peratus bagi blok dua tingkat.
- Operasi pemadaman dibantu BBP Ketereh, BBP Pasir Tumboh dan unit tangki BBP Pengkalan Chepa dengan 25 anggota keseluruhan.
- Tiada mangsa terlibat; punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan; JPN Kelantan memberi bantuan dan memindahkan warga sekolah.
Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Mohd Khairul Fais Ariffin dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.37 petang sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok tiba di lokasi kira-kira 19 minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan tiga blok bangunan jenis kekal dengan tahap kemusnahan berbeza. Blok pertama berkeluasan 40 kaki x 200 kaki setingkat musnah hampir keseluruhan dengan anggaran 98 peratus.
“Blok kedua berukuran 40 kaki x 60 kaki setingkat musnah kira-kira 80 peratus, manakala blok ketiga dua tingkat berkeluasan sama mengalami kerosakan sekitar 30 peratus,” menurut kenyataan itu.
Operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Ketereh, BBP Pasir Tumboh serta unit tangki dari BBP Pengkalan Chepa dengan kekuatan keseluruhan 25 anggota.
Operasi berjaya dikawal pada pukul 4.10 petang tadi namun kerja-kerja pemadaman dan pemantauan masih diteruskan bagi memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Kebakaran berkenaan tidak melibatkan sebarang mangsa dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dalam kenyataan memaklumkan, kebakaran telah mengakibatkan kerosakan kepada blok akademik yang menempatkan bilik darjah dan bilik penyelia asrama serta asrama murid lelaki.
“Semua murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di sekolah berkenaan telah dipindahkan ke kawasan selamat. Pihak JPN Kelantan telah mengambil tindakan segera bagi memberi bantuan kepada warga sekolah yang terjejas,” menurut kenyataan itu.