BALIK PULAU, 25 Mei- Tiga beranak rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat di Pekan Kongsi, dekat sini, Pulau Pinang, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.00 pagi dengan dua mayat ditemukan di tingkat bawah premis, manakala satu lagi di tingkat atas.
Kamarul berkata, polis menerima laporan berhubung kebakaran itu pada pukul 7.02 pagi.
Mangsa adalah Nurul Bowjiya, 58, anak lelakinya, Muhamad Ibrahim, 33, dan anak perempuannya, Rahbiah Jasmin, 20.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Mohd Faris Mansor yang mengesahkan insiden itu berkata, asap tebal kelihatan dalam kebakaran membabitkan barangan perabot seperti permaidani dan tilam.
Operasi pemadaman melibatkan anggota BBP Seri Balik Pulau bersama dua jentera serta dibantu BBP Balik Pulau.
Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.