fb fb fb fb fb

Tiga anak tentera lemas dalam kolam latihan, tentera tubuh lembaga siasatan

Semalam, bomba melaporkan dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang remaja lelaki berumur 13 tahun ditemukan lepas selepas disyaki mandi di kolam latihan kereta kebal sedalam tujuh kaki (kira-kira 2.1 meter) di sebuah kem tentera di Temerloh/Foto Ihsan Bomba

PORT DICKSON, 27 Januari - Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat lebih terperinci susulan insiden tiga mangsa yang ditemukan mati lemas dalam kolam latihan kereta kebal sebuah kem tentera, semalam.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, ahli lembaga bakal dianggotai pegawai serta pakar yang akan mengenal pasti faktor-faktor berlakunya insiden tersebut.

Beliau berkata ini termasuklah untuk mengenal pasti punca kesemua mangsa melepasi pagar yang mengelilingi kolam tersebut.

"Turut dikenal pasti ialah saksi-saksi yang boleh membantu memberi keterangan sama ada punca insiden tersebut adalah dari segi kelemahan pengawalan atau sebaliknya.

"Kita nak tahu punca macam mana anak-anak ini (mangsa) boleh melepasi pagar yang mengelilingi fasiliti itu..adakah ada kelemahan dari segi pengawalan atau pagar kena lebih tinggi atau diganti baru atau anti panjat," katanya kepada pemberita sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.

Muhammad Hafizuddeain menegaskan bahawa semua kawasan latihan tentera merupakan kawasan larangan kecuali kepada anggota dan dilarang untuk diceroboh.

Semalam, bomba melaporkan dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang remaja lelaki berumur 13 tahun ditemukan lepas selepas disyaki mandi di kolam latihan kereta kebal sedalam tujuh kaki (kira-kira 2.1 meter) di sebuah kem tentera di Temerloh.

Menurut beliau, pihaknya juga telah menyalurkan bantuan dan wang khairat kematian kepada kesemua keluarga mangsa.

GRACE AISYAH KEDAYAN