fb fb fb fb fb

Tidak patuhi syarat pengendalian sukan air, pengendali bot berdepan tindakan tegas

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching

IPOH, 7 Disember- Tindakan tegas akan diambil kepada pengusaha bot di kawasan peranginan sekitar Lumut, Perak yang gagal mematuhi syarat-syarat pengendalian sukan air.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan menempatkan anggotanya pada hujung minggu dan cuti umum bagi memastikan bot yang digunakan adalah berlesen. 

Selain itu, memastikan penumpang memakai jaket keselamatan dan bot yang beroperasi juga dipastikan membawa penumpang tidak lebih daripada 12 orang.

"Pihak Majlis Perbandaran Manjung juga telah meningkatkan kadar rondaan di kawasan pantai oleh penguat kuasa pelancongan dan sentiasa mengingatkan serta menegaskan kepada pengusaha yang berada di Teluk Batik bagi mewajibkan pemakaian 'personal floating device' (PFD) kepada penumpang yang menaiki bot.

"Selain itu, penggunaan siaraya juga turut diguna pakai bagi memaklumkan kepada pelancong yang hadir ke Teluk Batik untuk sentiasa berhati-hati,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan tindakan Kerajaan Negeri susulan kejadian bot terbalik di Pantai Teluk Batik pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh. 

Susulan kejadian itu, Pasukan Siasatan Kemalangan Jabatan Laut Malaysia telah merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya  (TPR) Negeri bagi tujuan pendakwaan di mahkamah. 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE