fb fb fb fb fb

Tidak patuh SOP COVID-19 antara punca kluster pendidikan meningkat

KUALA LUMPUR, 20 Januari - Tidak mematuhi SOP semasa dalam dan luar waktu persekolahan formal terutamanya sewaktu di asrama, antara faktor peningkatan kluster membabitkan institusi pendidikan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata antara faktor risiko yang dikenal pasti termasuk pemakaian pelitup muka yang belum pada tahap optimum, pergerakan pelajar yang bebas, pergaulan rapat dan tiada penjarakan fizikal semasa aktiviti kerohanian di masjid.

Bagi mengatasi masalah tersebut, KKM akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam masa terdekat bagi mengukuhkan aktiviti kawalan dan pencegahan penularan jangkitan COVID-19 di institusi pendidikan.

"Kepentingan untuk saringan gejala pelajar, guru dan staf sebelum masuk ke kawasan sekolah atau institusi, pengujian RTK-Ag ke atas murid, guru dan staf mengikut strategi pengujian COVID-19.

"Pemerkasaan ibu bapa untuk memantau status kesihatan anak dan bertanggungjawab untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bergejala. Menjalankan penilaian risiko penularan jangkitan COVID-19 di institusi masing-masing dari semasa ke semasa, agar tindakan pencegahan dapat segera diambil," kata Khiary.

Sejak minggu pertama tahun ini sebanyak 52 kluster pendidikan telah dilaporkan. Daripada jumlah itu 44 kluster dengan kes indeks adalah pelajar, 5 kluster melibatkan kes indeks guru atau pensyarah dan tiga kluster melibatkan staf sokongan pusat pendidikan."

KKM juga menasihati Pegawai Kesihatan Daerah agar menjalankan siasatan dan penilaian risiko bagi menilai status penularan jangkitan sekiranya terdapat kes positif dilaporkan oleh pihak sekolah atau institusi pendidikan.

 

Media Baharu