KUALA LUMPUR, 24 April- Pegawai Imigresen tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan pelanggan, hanya kerana gagal menguasai bahasa kebangsaan.
Terdahulu, tular aduan seorang pelanggan yang kecewa tidak dapat memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh berbahasa Melayu di UTC Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa permohonan pelanggan memperbaharui pasportnya itu telah diluluskan di Pejabat UTC Pulau Pinang pada 22 April.
"Pegawai-pegawai Imigresen akan melaksanakan semakan rawak dari pelbagai aspek bagi mengesahkan permohonan."
"Bagaimanapun, semakan tersebut perlu dilakukan secara profesional dan berhemah," kata Datuk Ruslin dalam kenyataan.
Jabatan Imigresen juga sentiasa mengingatkan semua pegawai untuk menyantuni pelanggan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.