‘Tiba-tiba gelas bergegar’ – Reaksi penduduk susulan gempa di Sabah

Gambar janaan AI

KOTA KINABALU, 23 Februari- “Tiba-tiba gelas bergegar, saya terkejut,” jelas Zamain Singkui, menceritakan pengalamannya selepas gempa bumi kuat melanda perairan Sabah di sini awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk terkejut selepas gelas bergegar ketika minum, menyedari ia gegaran gempa.
  • Beberapa saksi hanya terasa sedikit gegaran, ada yang tidak sedar kerana sedang tidur.
  • MetMalaysia mengesan gempa kuat magnitud 6.8 di perairan berdekatan Kudat, Sabah.
  • Gegaran dirasai di Sabah serta kawasan terpilih di Sarawak dan Semenanjung; pemantauan lanjut dijalankan.

Beliau mengakui terkejut dan tidak menyangka ia adalah gegaran gempa bumi.

“Semalam, saya lambat balik ada urusan kerja di stadium bola. Sampai di rumah, saya sedang minum kopi, tiba-tiba gelas bergegar.

“Pada mulanya saya ingat ada perkara lain berlaku, tetapi baru saya tahu ia adalah gempa bumi,” jelasnya lagi.

Sementara seorang lagi saksi, Syed Lylia Hariz Syad Izman memaklumkan, beliau tidak begitu merasai gegaran kerana tidur awal.

“Kami (saya dan isteri) memang tidak berapa tahu tentang gempa bumi… agak terkejut pagi ini apabila mendengar mengenai kejadian gempa berdekatan Kudat.

“Saya tanya isteri saya, ada rasa gegaran tak, dia kata ada sedikit. Pada mulanya, kami tak pasti itu adalah gempa bumi,” jelasnya.

Syed Lylia Hariz Syad Izman dan Zamain Singkui

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala richter di perairan Kota Kinabalu pada pukul 12.57 tengah malam.

“Pusat gempa bumi tersebut berada pada jarak 49 km ke Barat dari Kudat, Sabah.

“Gegaran dirasai di Sabah serta beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” menurut kenyataan pagi tadi.

MetMalaysia turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan itu dari semasa ke semasa.