fb fb fb fb fb

Tiada waktu rehat, kaunter khidmat pelanggan guna sistem penggiliran

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh / Foto RTM

AYER KEROH, 20 September – Bermula 1 Oktober depan, tiada lagi waktu rehat di kaunter perkhidmatan pelanggan kerajaan di Melaka, dengan sistem penggiliran pegawai akan digunakan untuk memastikan perkhidmatan terus berjalan lancar.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran operasi dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Maksudnya, sesiapa sahaja yang datang ke Melaka untuk berurusan di kaunter perkhidmatan, termasuk kaunter kerajaan negeri atau persekutuan, boleh menjalankan urusan mereka pada waktu rehat melalui penggiliran pegawai. Kita tidak mahu rakyat menunggu lama pada waktu rehat, sedangkan urusan boleh diuruskan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf memaklumkan Melaka telah menerima sekitar 10.16 juta pelancong setakat bulan lalu, menunjukkan peningkatan sebanyak 90.62 peratus berbanding 5.33 juta pelancong dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Peningkatan tersebut disumbangkan oleh pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sepanjang tahun ini, termasuk cabutan bertuah bulanan dan parkir percuma kepada pelancong pada waktu larut malam.

Ab Rauf turut menekankan bahawa kejayaan itu seiring dengan dasar kerajaan negeri untuk menyantuni pengunjung yang datang ke negeri itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN