PUTRAJAYA, 12 Januari- Malaysia belum membuat sebarang keputusan untuk mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban di Afghanistan.
Jelas Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, kerajaan tidak mahu terburu-buru membuat keputusan dan akan meneliti perkembangan semasa sebelum membuat apa-apa keputusan.
"Dan kita berhati-hati dalam proses pengiktirafan ini, kalau boleh biarlah pengiktirafan itu dibuat melalui "international" platform sebagai contoh setelah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) membuat keputusan kita akan iktiraf dan hal ini akan memudahkan kerajaan Malaysia membuat keputusan," katanya selepas menyampaikan amanat tahun baharu di Putrajaya.
Tambah Saifuddin, walaupun kerajaan masih belum mengiktiraf kerajaan negara tersebut, namun bantuan awal telah disalurkan bagi membantu Afghanistan yang terkesan.
Antaranya termasuklah penyaluran bantuan kewangan sebanyak AS$100,000 selain bantuan kemanusian oleh pihak badan bukan kerajaan (NGO) tempatan iaitu pihak Global Peace Mission.
Mereka merupakan antara NGO yang terawal tiba disana selepas tentera Amerika Syarikat meninggalkan negara tersebut.
Saifuddin turut menyeru dan menggalakkan lebih banyak NGO untuk tampil kedepan dan menyalurkan bantuan di sana.