
KUALA LUMPUR, 13 Mac– Keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di peringkat Persekutuan, kementerian dan agensi disifatkan sebagai langkah bertanggungjawab dalam memastikan perbelanjaan negara diurus secara berhemah.
- Keputusan tidak menganjurkan rumah terbuka menunjukkan komitmen kerajaan mengutamakan perbelanjaan berhemah.
- Pendekatan berjimat cermat membantu mengalihkan dana kepada keperluan rakyat dan menghadapi cabaran ekonomi semasa.
- Tindakan ini penting untuk mengelakkan pembaziran dan penganjuran majlis yang berlebihan.
- Sambutan Aidilfitri boleh diraikan secara sederhana tanpa menjejaskan perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Pakar Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengutamakan keperluan rakyat serta mendepani cabaran ekonomi semasa menerusi pendekatan berjimat cermat.
Menurut beliau, tindakan itu penting bagi mengelakkan pembaziran dan penganjuran majlis yang berlebihan, sekali gus memastikan dana dapat disalurkan kepada perkara yang lebih mendesak.
“Keputusan untuk tidak mengadakan rumah terbuka di peringkat kementerian dan agensi ini membuktikan komitmen kerajaan dalam mengutamakan perbelanjaan berhemah.
Dalam mendepani cabaran ekonomi semasa, langkah ini penting bagi memastikan dana negara disalurkan terus kepada keperluan rakyat, sekali gus mengelakkan sebarang pembaziran atau penganjuran majlis yang berlebihan,” katanya.
Tambah beliau, sambutan Aidilfitri tetap boleh diraikan secara sederhana tanpa menjejaskan nilai perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Dalam konteks demografi dan geografi negara yang pelbagai, sambutan Aidilfitri boleh terus diraikan secara sederhana dan bertanggungjawab dengan mengekalkan nilai kerencaman budaya serta keharmonian masyarakat,” jelas beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa tiada majlis rumah terbuka Aidilfitri akan dianjurkan di peringkat kerajaan Persekutuan tahun ini sebagai langkah rasionalisasi perbelanjaan dan memfokuskan kepada kebajikan rakyat.