
PETALING JAYA, 14 Mac – Keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri melibatkan kementerian dan agensi kerajaan strategi penting dalam usaha penjimatan, dengan peruntukan tersebut akan disalurkan semula bagi kepentingan serta kebajikan rakyat.
- Langkah penjimatan disediakan sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global susulan ketegangan di Asia Barat.
- Seruan agar rakyat berhemah dan mengelakkan pembaziran makanan; kira-kira 12,000 tan metrik dibazirkan setiap tahun.
- Mengambil langkah penjimatan serupa negara jiran, seperti guna tangga, tetapkan penghawa dingin 26 darjah, dan kerja dari rumah.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata langkah itu sekali gus persediaan menghadapi kemungkinan ketidaktentuan ekonomi global susulan ketegangan di Asia Barat.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia mengamalkan pendekatan lebih berhemah serta mengelakkan pembaziran makanan terutama ketika sambutan perayaan.
“Ketika kami membincangkan langkah untuk melaksanakan penjimatan serta memastikan setiap perbelanjaan memberi manfaat kepada rakyat, kami dimaklumkan bahawa terdapat kira-kira 12,000 tan metrik pembaziran makanan setiap tahun, bayangkan jumlah pembaziran yang berlaku.
“Jika kita berjimat, wang tersebut bukan masuk ke dalam poket mana-mana pihak, sebaliknya akan disalurkan kepada rakyat, termasuk bagi mengekalkan subsidi minyak dan subsidi diesel.
Tambah beliau, langkah persediaan dan penjimatan juga dilaksanakan oleh beberapa negara lain termasuk Thailand dan Taiwan.
“Jika kita melihat di Thailand, penjawat awam digalakkan untuk menggunakan tangga berbanding lif, menetapkan suhu penghawa dingin pada 26 darjah Celsius serta bekerja dari rumah bagi menjimatkan penggunaan petrol dan diesel”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perpaduan Ziarah MADANI Ihya Ramadan 2026 di sini hari ini.
Program anjuran Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) itu memperuntukkan bantuan berjumlah RM20,000 kepada tiga buah pusat kebajikan dan sebuah pusat tahfiz di bawah Parlimen Sungai Buloh.
Selain itu, sebanyak 1,000 Bakul MADANI turut diagihkan kepada penduduk di kawasan Parlimen berkenaan.