fb fb fb fb fb

Tiada permohonan permit diterima untuk anjur Himpunan Rakyat

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Polis mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan permit berhubung penganjuran Himpunan Rakyat dan penyerahan memorandum oleh sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pembela Tanah Air (PETA), pada pukul 11 pagi esok di Istana Negara.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, malah polis juga tidak menerima sebarang notis daripada pihak penganjur.

“Setakat ini, pihak polis masih tidak menerima sebarang notis permohonan daripada penganjur. Justeru itu, semua pihak diminta menghormati undang-undang dan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang boleh dikenakan tindakan bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan isu ini dan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau kegiatan mencurigakan, boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Terdahulu, tular di media sosial melalui hantaran oleh Che Gubard (Badrul Hisham Shaharin) yang mengajak orang ramai agar menyertai Himpunan Rakyat #daulattuanku dan penyerahan memorandum yang dijadual diadakan di Istana Negara, esok.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE