KUANTAN, 12 Mei- Sebuah bot nelayan tempatan pukat tunda kelas C ditahan di perairan di sini pada jarak 23 batu nautika dari timur perairan Kuala Pahang, Kuantan, petang semalam.
Ia yang disyaki melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai permit kerja sah itu dikesan sedang bersauh oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang dalam rondaan rutin Op Makmur dan Op Tiris.
Menurut Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab, hasil pemeriksaan menemui tiga kru termasuk seorang tekong warganegara Myanmar berumur lingkungan 21 hingga 45 tahun.
Selain itu, hasil laut dengan anggaran berat kira-kira 1,100 kilogram (kg) turut dijumpai atas bot berkenaan.
Mazlan berkata, kes terbabit akan disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Kesemua mereka ditahan termasuk hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan untuk tindakan lanjut.