fb fb fb fb fb

Tiada perbincangan UiTM dibuka kepada bukan bumiputera - Zambry

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 15 Mei - Cadangan membuka kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat di peringkat kementerian atau Kabinet.

Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata dalam satu kenyataan berkata, isu tersebut sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM, sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.

"Seperti kenyataan saya pada 2 Mei yang lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera sepertimana yang telah dimainkan pada hari ini.

"KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 - UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sebelum ini Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa UiTM mengutamakan keperluan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada pelajar bukan Bumiputera.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata kekurangan kritikal pakar dalam negara, khasnya pakar bedah kardiotoraks, menyebabkan tempoh menunggu lama untuk pembedahan kritikal dan menyebabkan kematian.

TETITIA YUSOFF