KUALA LUMPUR, 31 Oktober - Tiada perbincangan berhubung pelaksanaan cukai langgganan ChatGPT seperti diperkatakan di media sosial.
Jelas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, sebarang cadangan mengenai perkara berkenaan perlu dibawa ke parlimen dan tidak hanya dibincangkan di peringkat jemaah menteri.
"Setakat ini, kita tidak ada bincang perkara ini, dan sama ada di jemaah menteri atau dalam kalangan menteri-menteri lain. Tiada perbincangan mengenai cadangan untuk mengenakan cukai.
"Dan kita tahu sebarang cukai yang ingin dikenakan perlu dibawa untuk diluluskan di parlimen dan kita juga tidak dengar perkara itu dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, jadi bagi saya, perkara itu tidak boleh dilayan," kata Fahmi.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024, di Ibu Negara.
Majlis anjuran Kementerian Digital itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan menteri kabinet.
Sementara itu dalam isu berbeza, Fahmi berkata bahawa Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Khazanah Nasional perlu diberi masa untuk menjelaskan kerugian RM43.9 juta dalam penjualan pelaburan mereka dalam platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) dengan harga RM3.1 juta.
“Kami sedang memantau isu ini...saya belum menerima laporan penuh mengenai perkara sebenarnya yang berlaku. Sudah tentu, banyak orang mempunyai banyak soalan, dan saya rasa kita perlu memberi pihak-pihak berkenaan sedikit masa untuk memberikan respons secara rasmi.
“Sudah tentu, isu ini timbul daripada respons Parlimen yang diberikan. Jadi, saya rasa kita perlu memberi sedikit masa kepada mereka untuk menerangkan situasi yang berlaku, kerana ini melibatkan wang awam, dan tentunya ramai yang ingin tahu,” katanya.
Pada 29 Oktober, Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Parlimen mendedahkan Khazanah dan PNB mengalami kerugian RM43.9 juta daripada penjualan pegangang minoriti mereka dalam FashionValet.
Pada 2018, Khazanah telah melabur sebanyak RM27 juta, manakala PNB melabur RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.