fb fb fb fb fb

Tiada perbezaan pembangunan meskipun di kawasan pembangkang - PM

KEPALA BATAS, 2 November - Kerajaan Persekutuan tidak pernah membeza-bezakan pembangunan di negeri atau kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah pembangkang demi kepentingan masyarakat kawasan itu, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Pecah Tanah tiga projek di sini.

Katanya, ia termasuk Pulau Pinang yang tidak pernah dipinggirkan kerajaan Persekutuan meskipun ia diterajui oleh pembangkang.

Komitmen itu jelasnya dizahirkan menerusi peruntukan sebanyak RM222 juta bagi membangunkan tiga projek di Kepala Batas.

Ia melibatkan pembinaan sebanyak 700 buah Projek Perumahan Rakyat (PPR), sebuah masjid, iaitu Masjid Bandar Putra Bertam dan sebuah hab sukan, Kepala Batas Youth Centre ( KBYC).

"Meskipun Pulau Pinang adalah negeri yang diterajui oleh pembangkang, namun saya mengetepikan kesemua perkara ini atas dasar keutamaan terhadappembangunan Keluarga
Malaysia," katanya.

Mengenai Projek PPR Kepala Batas yang bernilai RM113 juta, Ismail Sabri berkata ia melibatkan pembinaan 700 unit rumah pangsa empat tingkat berserta kemudahan asas, yang akan dilaksanakan di tanah seluas 8.1 hektar (20 ekar) milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Pongsu Seribu, Seberang Perai Utara.

(Ismail Sabri Yaakob di Majlis Pelancaran Pecah Tanah tiga projek)

Beliau berkata projek itu turut menyediakan tujuh unit rumah untuk memenuhi keperluan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Kos pembinaan seunit rumah ini adalah RM161,000 tetapi akan dijual dengan harga hanya RM45,000 seunit. Ini bermakna subsidi bagi seunit rumah adalah RM116,000 dan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan bagi projek ini adalah RM81.2 juta," kata beliau.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa komited melaksanakan program pembangunan untuk Keluarga Malaysia berlandaskan prinsip Maqasid Syariah dan dalam konteks Malaysia, kerajaan bertanggungjawab memelihara dan menyuburkan pengembangan syiar Islam dalam kalangan Keluarga Malaysia terutamanya yang beragama Islam.

Justeru, beliau mengumumkan pelancaran majlis pecah tanah bagi pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam, Kepala Batas yang akan dibangunkan di atas tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang dapat memuatkan 1,500 jemaah.

Beliau berkata projek kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sumbangan melalui kutipan wakaf dana pembangunan masjid itu berkonsepkan bangunan mesra alam rendah karbon dan bakal menjadi mercu tanda serta antara bangunan hijau di Pulau Pinang.

Selain itu, Perdana Menteri berkata pembinaan KBYC bernilai RM45 juta pula akan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya asrama, astaka, padang bola dan trek sintetik, dewan E-Sport, bilik muzik, gimnasium dan trek jogging.

Media Baharu