fb fb fb fb fb

Tiada penutupan jalan sepanjang Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Tiada penutupan jalan menuju ke Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bermula hari ini hingga Ahad, kecuali satu jalan di Bukit Jalil yang dikhususkan untuk kenderaan dengan pelekat khas sahaja.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata hanya satu jalan ditutup di Bukit Jalil melibatkan laluan masuk dari jalan barat (jalan menghala ke stadium) menuju ke persiaran Institut Sukan Negara (ISN) kerana trafik dijangkakan sesak di kawasan berkenaan.

“Laluan itu hanya dibenarkan untuk mereka yang mempunyai pelekat khas (Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI) ataupun pelekat dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, hari ini.

Terdahulu, ketika temu bual dalam program Apa Khabar Malaysia, Zam Halim menasihatkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan lalu lintas memandangkan beberapa acara turut diadakan di kawasan berkenaan dalam tempoh yang sama.

Selain Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, acara lain yang berlangsung di Bukit Jalil ialah perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada malam ini, Konsert Gegar Vaganza di Axiata Arena (10 Dis) dan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023 dari 5-15 Dis di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI diadakan untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 24 Nov tahun lepas.

Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE