KUALA LUMPUR, 6 Februari - Tiada peningkatan kes jangkitan selesema (Influenza) dan tiada sebarang kes selesema burung (avian influenza) dalam kalangan manusia direkodkan di negara ini.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan berkata, laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Rantau Pasifik Barat (WPRO), kadar positif bagi sampel influenza yang diuji ialah 26.19% pada Minggu Epidemiologi 1 Tahun 2025 (ME 1/2025) dan 21.97% pada ME 4/2025, iaitu penurunan sebanyak 4%.
"Berdasarkan pemantauan, kadar konsultasi influenza-like illness (ILI) di Klinik Kesihatan pada ME 4/2025 adalah 4.67%, menurun sebanyak 0.14% berbanding 5.81% pada ME 3/2025. Pada tempoh yang sama juga, kadar kemasukan kes jangkitan pernafasan akut yang teruk atau severe acute respiratory infection (SARI) di hospital adalah 7.26%, iaitu menurun 0.16% berbanding 7.52% pada ME 03/2025," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, KKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa menjalankan pemantauan aktif dan survelan terhadap ladang ternakan, populasi burung liar, serta pasar basah bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan langkah pencegahan dan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema yang berpanjangan.
"Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan; mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin; memakai pelitup muka terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan atau yang bergejala; serta mendapatkan vaksinasi influenza secara tahunan.