fb fb fb fb fb

Tiada pengurangan subsidi haji & elektrik untuk golongan kaya - PM

(Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 12 Jun- Kerajaan tidak akan berganjak daripada pendirian tidak mengurangkan subsidi haji dan elektrik untuk golongan kaya dan berpendapatan tinggi atau kumpulan isi rumah T20.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekurang-kurangnya 40 peratus daripada subsidi yang disalurkan kerajaan kepada orang miskin turut dinikmati oleh golongan kaya.

Jelasnya, subsidi kos mengerjakan haji dan tarif elektrik yang dimanfaatkan golongan itu dianggap tidak lagi munasabah untuk diteruskan.

Ia berbeza dengan cadangan kerajaan terdahulu yang mahu menaikkan kadar atau tarif elektrik untuk semua golongan rakyat.

"Maknanya, prinsip inilah akan diguna pakai apabila disebut penyusunan semula atau rasionalisasi subsidi. Jadi tidak boleh permainkan isu ini kerana seperti mana kita lakukan untuk Tabung Haji dan juga elektrik. Prinsip sama akan diguna pakai," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya.

Selain itu, langkah mengekalkan subsidi itu juga menjadi sebahagian daripada penstruskturan semula ekonomi dan naratif ekonomi Madani yang bakal dilancarkan kerajaan Ogos ini.

Mengenai hala tuju peralihan tenaga, perkara itu juga akan diteliti dan akan dibentangkan sebelum pengenalan sesuatu program atau dasar peralihan tenaga yang menjadi sesuatu keutamaan kerajaan pada masa kini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan tiada lagi subsidi penuh tarif elektrik kepada golongan T20 dan syarikat besar yang menggunakan tenaga elektrik pada tahap tinggi dengan pengecualan kepada rakyat berpendapatan rendah.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu