KUALA LUMPUR, 12 Januari - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menerima sebarang makluman atau arahan berkenaan cadangan penutupan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah, Rompin, Pahang.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata semakan pihaknya mendapati tiada maklum balas terkini berhubung penutupan institusi pendidikan berkenaan.
"Tidak sampai berita itu kepada saya. Walaupun saya dengar di luar, tetapi saya hendak maklumkan di sini yang tidak ada arahan terus ataupun disampaikan secara tidak langsung kepada saya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan penutupan institusi pengajian tinggi itu selepas menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Landasan Hala Tuju KPT 2024 di Universiti Malaya di sini
Kerajaan negeri Pahang sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan penutupan universiti terbabit dan mahu keputusan itu dikaji semula.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dipetik sebagai berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri membuat keputusan sebulat suara mengenai perkara itu dalam mesyuaratnya pada Rabu lalu.