fb fb fb fb fb

Tiada laporan penyakit anthrax di Malaysia- DVS

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 2 April- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan, sehingga kini tiada sebarang laporan penyakit anthrax di Malaysia meskipun penyakit berkenaan sentiasa aktif di kebanyakan negara di merata benua.

Menurut DVS dalam satu kenyatan, Malaysia bebas daripada penyakit anthrax semenjak kes terakhir dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada 1976.

Penyakit anthrax disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis dan merupakan penyakit zoonotik iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia dan boleh membawa maut.

Penyakit tersebut boleh menjangkiti ternakan dan manusia melalui kontak langsung dengan spora yang dihasilkan oleh bakteria Bacillus anthracis yang boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi pada haiwan ternakan.

Menurut DVS antara tanda klinikal penyakit ini pada ternakan ialah kematian mengejut, demam yang tinggi, lemah, lesu, sukar bernafas, bengkak di kawasan jangkitan, terutamanya di kawasan leher, muntah dan cirit-birit.

Dalam sesetengah kes, darah keluar dari hidung, mulut, atau dubur ternakan.

Para penternak perlulah melaporkan segera kepada DVS sekiranya mengesan sebarang tanda tersebut.

Sebagai langkah berjaga-jaga, DVS memaklumkan pihaknya sentiasa menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan demi memastikan negara sentiasa bebas daripada anthrax.

ROSLINA BINTI DIN