MERSING, 10 Februari – Pihak kontraktor diseru menyiapkan projek infrastruktur lebih awal daripada tempoh dijadualkan bagi mengelakkan isu lanjutan masa dan memastikan kelancaran pembangunan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata gesaan itu ditujukan khusus kepada kontraktor yang menerima projek dalam tempoh dua tahun ini selaras dengan hala tuju Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi tahun 2025.
"Projek hendaklah siap lebih awal dari jadual, sama ada 10 hari, sebulan, atau beberapa bulan lebih awal, bukan lanjutan masa (extension of time). Saya menyeru semua kontraktor yang dianugerahkan projek dalam tempoh setahun dua ini supaya mempercepatkan penyiapan projek. Mengikut jadual adalah kaedah lama, kaedah baharu mulai tahun ini ialah sifar projek sakit dan projek disiapkan lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), di sini.
Tambah Ahmad, KKR komited memastikan tiada projek sakit dalam pelaksanaan projek kementerian bagi tahun ini.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa empat projek di Mersing dikenal pasti untuk menjalani kerja pembaikan segera.
Antara projek terlibat ialah pembinaan dan naik taraf kuarters Desa Bina Diri, pembaikan jeti Pulau Pemanggil, serta naik taraf infrastruktur di Pulau Besar.