IPOH, 7 Februari - Kerajaan Perak tidak berhasrat untuk menetapkan sebarang kuota khas bagi ahli politik dan golongan professional mengisi jawatan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana kesukaran untuk mengenal pasti jumlah sebenar ahli politik dan bukan ahli politik yang menetap di negeri tersebut.
“Tafsiran melibatkan ahli politik sangat subjektif.
"Kita agak sukar untuk mengasingkan dan mentaksirkan siapakah orang politik.
“Adakah semua yang menjadi ahli parti politik itu dikatakan orang politik? Kalau begitu ramailah. Sebab ahli UMNO sahaja ada tiga juta orang. Jadi, tiada satu tafsiran yang jelas,” katanya kepada pemberita pada Majlis Amanat Perdana KEMAS bersama Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Tambah Saarani, kerajaan negeri buat masa ini tidak bercadang untuk membuat pemisahan atau menetapkan kuota Ahli Majlis kerana ia dilihat sukar untuk dipatuhi.
Beliau mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, supaya separuh daripada Ahli Majlis dalam Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) terdiri dalam kalangan golongan profesional.