fb fb fb fb fb

Tiada kompromi terhadap pihak lakukan pembakaran terbuka

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming

BATU BERENDAM, 19 Mei - Kerajaan akan mengenakan kompaun terhadap mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya melakukan pembakaran terbuka sepanjang tempoh empat bulan ini, iaitu dalam tempoh Monsun Barat Daya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, tindakan tegas juga akan diambil terhadap individu yang melakukan perkara itu meskipun secara niat baik.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh monsun ini yang bermula 17 Mei hingga September depan.

"Monsun Barat Daya akan menjelang iaitu musim kemarau oleh kerana itu saya sekali lagi nasihatkan seluruh rakyat Malaysia elak mana-mana pembakaran terbuka, saya sudah keluarkan arahan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kompaun akan dikeluarkan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Kerana saya sangat khuatir dan bimbang sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal ia akan mengundang kecelakaan dan kebakaran yang sangat serius. Jangan lupa tahun lepas akibat daripada kebakaran negara kita mengalami kerugian lebih RM2.6 bilion, ini adalah jumlah yang sangat besar oleh kerana itu saya merayu semua pihak berikan kerjasama," kata Nga Kor Ming.

Beliau ditemui pemberita dalam Program Larian Bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Memorial Pengistiharan Kemerdekaan Banda Hilir, Melaka.

Dalam pada itu beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa bersiap siaga dalam pelbagai perkara dan mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari masa ke masa.

TETITIA YUSOFF