KOTA KINABALU, 4 Ogos-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan para pemimpin yang menyalahgunakankuasa demi kepentingan peribadi masing-masing.
Katanya kerajaan Persekutuan pimpinannya akan terus mempertahankan prinsip perjuangan bagi menentang penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pemimpin di negara ini.
"Tetapi apa yang beza (berbanding kerajaan lain)? Kita tidak tolak ansur salah guna kuasa dan pemimpin mencuri harta rakyat. Saya mahu saudara dengar, (sama ada di) Kuala Lumpur, Putrajaya, Kota Kinabalu, Kangar, Kuala Terengganu saya tidak peduli.
"Kita mesti jaga negeri ini. Negara ini kaya, negeri ini kaya, jangan izinkan pimpinan guna kuasa memperkaya diri dan keluarga mereka," katanya dalam Himpunan Perdana Rakyat bertempat di Sabah International Convention Centre hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan Sabah daripada dicemari oleh anasir luar yang cuba menggugat kedaulatan negeri itu.
"Saya pernah jawab baru-baru ini bila kerajaan Filipina kata nak bangkit semula soal kedudukan Sabah, tapi saya jawab hubungan saya dengan kerajaan Filipina sangat baik.
"Hubungan peribadi saya dengan Presiden Bongbong Marcos sangat baik, sangat akrab, dia pun anggap saya antara kawan yang baik.
"Jadi kita harus runding bicara dengan baik, tapi soal kedaulatan negara, soal kedudukan Sabah sebahagian Malaysia tidak kita tolak ansur sama sekali," tegasnya.
Himpunan Perdana Rakyat yang bermula seawal pukul 8.00 pagi dihadiri oleh kira-kira 14,000 ahli PKR, serta pemimpin parti komponen Pakatan Harapan.
Turut hadir dan berucap pada program kemuncak perhimpunan tersebut ialah Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.