IPOH, 23 Mac - Tiada keperluan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi penurunan kuasa memantau harga barang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ini kerana penguatkuasaan yang dilaksanakan KPDN pada masa ini berjalan dengan baik.
"Saya yakin di bawah pimpinan Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali usaha ini akan diperhebatkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah bangunan baharu Dewan Perhimpunan Cina Perak yang dijadual siap pada 2027 bersempena ulang tahun ke-100 penubuhan itu, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh semalam yang mencadangkan perkara itu supaya pemantauan harga barang dilakukan lebih kerap terutama menjelang musim perayaan.
Dalam perkembangan lain, Nga berkata pemantauan dan kawalan daripada pihak PBT dilaksanakan secara berkala bagi membanteras kesalahan peniaga tempatan yang menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing.
"Ramai pekerja di pasar borong adalah pekerja asing yang sah, mereka adalah pekerja dan bukannya peniaga namun kadang-kadang ia memberi persepsi seolah-olah gerai itu milik mereka tetapi sebenarnya tidak.
"Iktibarnya apabila rakyat Malaysia tidak mengambil peluang kerja dalam sektor ini, maka warga asing ada ruang dan peluang untuk ambil peluang pekerjaan, jadi kita mesti kerja keras membangunkan ekonomi negara termasuk dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar)," katanya.