fb fb fb fb fb

Tiada keperluan mendesak rombak Kabinet - PM

PM tegaskan tiada keperluan rombak Kabinet/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Jun - Tiada keperluan mendesak untuk melaksanakan rombakan Kabinet buat masa ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan kekal berfungsi seperti biasa walaupun dua menteri Kabinet meletak jawatan baru-baru ini.

"Tiada keperluan mendesak untuk rombakan sekarang. Dua menteri sudah meletak jawatan dan kami beri masa kepada mereka untuk memikirkan apa yang mereka akan lakukan."

"Buat masa ini, saya hanya meluluskan cuti kedua-duanya . Jadi saya fikir, tidak perlu kita buat sebarang andaian."

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Jelas beliau, Kabinet terus berfungsi dan aturan semasa dibuat bagi memastikan kesinambungan tadbir urus.

Pada 28 Mei lepas, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan mereka telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri dan mula bercuti.

Peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing berkuat kuasa pada 17 Jun dan 4 Julai ini.

Sementara itu, mengulas mengenai perletakan jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam UMNO dan berhasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar berkata, ia tidak menjejaskan kedudukannya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

"Tengku Zafrul seorang menteri yang menjalankan tugas dengan sangat baik. Pelaburan kita ratusan bilion banyak juga dikendali dengan usaha beliau, MATRADE, MITI dan kerajaan."

"Sekarang dia memilih untuk memohon. Kita belum bincang apa-apa pun...biar dia menunaikan fardhu haji (alhajri mabruran, wasa'i masykuran). Jadi biar dulu...dan tak payah umpamanya banyak sangat tafsiran yang kurang sihat," katanya.

Menurut beliau lagi, keputusan Tengku Zafrul perlu dihormati dan harus diterima dengan hati terbuka.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN