PUTRAJAYA, 22 April- Tiada keperluan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di negara bergolak Iran, Jordan dan Lubnan ketika ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Wisma Putra sentiasa memantau perkembangan di rantau berkenaan dan sentiasa berhubung dengan Majlis Keselamatan Negara untuk sebarang tindakan segera.
"Ramai orang bertanya mengenai rakyat Malaysia di Iran, Jordan dan Lubnan.
"Di Iran tidak ramai, hanya 38 orang termasuk staf kedutaan, manakala di Jordan ramai rakyat Malaysia, kebanyakannya pelajar, ada lebih 2,000 orang dan setakat ini tidak ada apa-apa masalah di sana", katanya.
Manakala di Lubnan, lebih 800 rakyat Malaysia termasuk sebahagian besar merupakan tentera pengaman.
Beliau ditemui media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Luar di Putrajaya.