fb fb fb fb fb

Tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung bermula 1 Julai sehingga 31 Disember 2024

Tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung bermula 1 Julai 2024 hingga 31 Disember 2024 / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 29 Jun - Tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung bermula 1 Julai 2024 hingga 31 Disember 2024.

Untuk tujuan itu, kerajaan menanggung subsidi elektrik bersasar berjumlah RM2.192 bilion.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan untuk tempoh sama, pengguna komersial dan industri akan mengalami penurunan kadar surcaj (ICPT) sebanyak 1 sen/kWJ.

"Kerajaan berharap agar penurunan kadar surcaj ICPT kepada kategori ini dapat terus mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran," kata PETRA menerusi kenyataan.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk menurunkan surcaj sebanyak 1 sen/kWJ kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ini bagi memastikan pihak PBT dapat menyediakan perkhidmatan pencahayaan yang menyeluruh di kawasan awam seperti lampu-lampu jalan, lampu taman-taman perumahan dan lampu kawasan rekreasi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN