
KUANTAN, 7 Mac -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada peniaga yang menaikkan harga barangan susulan konflik Asia Barat.
- KPDN meneliti perkembangan geopolitik dan setakat ini belum menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga.
- Pemantauan KPDN menunjukkan tiada kenaikan harga luar biasa; aduan akan disiasat dan tindakan diambil.
- Dilancarkan Program PATUH untuk kawalan kendiri peniaga, memastikan tanda harga jelas, alat penimbang dikalibrasi, patuh Akta Sukat dan Timbang.
- Ops Pantau: 36,510 pemeriksaan, 696 kes direkodkan, 532 kompaun dikeluarkan, rampasan melebihi RM2.93 juta.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, orang ramai boleh melaporkan kepada pihak KPDN sekiranya terdapat peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan.
“Kami meneliti secara dekat perkembangan geopolitik semasa dan memantau sama ada terdapat kenaikan harga susulan keadaan tersebut. Setakat ini, kami belum menerima sebarang aduan.
“Manakala pemantauan yang dijalankan juga menunjukkan tiada kenaikan harga yang luar biasa. Sekiranya terdapat sebarang kenaikan, orang ramai boleh membuat aduan kepada KPDN dan pihak kami akan segera turun padang untuk menjalankan siasatan,” katanya dalam sidang media sempena Sesi Walkabout Bazar Ramadan RAHMAH Peringkat Zon Timur, di sini.
Pada program sama, beliau turut melancarkan Program PATUH sebagai pendekatan kawalan kendiri dalam kalangan peniaga.
“Ops Patuh ini bertujuan memastikan peniaga mematuhi peraturan, termasuk meletakkan tanda harga dengan jelas dan mematuhi Akta Sukat dan Timbang. Kami memastikan alat penimbang mereka dikalibrasi dengan betul, harga tidak mengelirukan, dan harga yang ditawarkan adalah berpatutan, selaras dengan penguatkuasaan Akta Anti Pecatutan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 36,510 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara menerusi Ops Pantau susulan 892 aduan yang diterima, hingga semalam.
Hasil pemeriksaan tersebut katanya, 696 kes telah direkodkan dengan 532 kompaun dikeluar melibatkan nilai kompaun mencecah RM143,400 dan nilai rampasan berjumlah lebih RM2.93 juta.
Ia selain, 12,794 pemeriksaan di bazar Ramadan dengan lapan kes direkodkan, setakat ini di seluruh negara.