KUALA NERUS, 30 Julai - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menghalang mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam bidang politik.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kebebasan berpolitik secara sihat itu dibenarkan sebagaimana termaktub dalam pindaan Akta Univerisiti dan Kolej Universiti (AUKU).
“Kita bukan polis hendak pantau pelajar, memang kita tidak mengongkong, tapi jangan bawa masuk politik kepartian ke dalam kampus. Di luar, hendak bertanding pun bertandinglah tapi tidak ada pula yang hendak bertanding," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini.
Ditanya sama ada KPT akan menyediakan pengangkutan kepada mahasiswa pulang mengundi, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian memandangkan semua penuntut telah habis peperiksaan.
"Kebanyakan penuntut sudah bercuti semester sekarang dan rasanya tidak ada keperluan," katanya.