PONTIAN, 5 April - Johor tidak akan melakukan catuan air ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba nanti, sebaliknya akan mengambil beberapa langkah proaktif bagi menangani isu kekurangan bekalan air akibat cuaca panas.
Cuaca panas yang berlaku sepanjang bulan lalu hingga menyebabkan paras air di tiga empangan dan tangki air menurun di beberapa kawasan di negeri itu.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara langkah yang akan dan sedang diambil ialah inisiatif pengolahan Sistem Bekalan Air Loji Rawatan Air (LRA) Layang Dua yang telah beroperasi dan akan menyelesaikan masalah bekalan air di sekitar kawasan Kempas, Bukit Indah dan Pandan, pemasangan Pam Penggalak di tangki Mengkibol serta lain-lain.
Pihaknya juga telah mengarahkan Ranhill Syarikat Air Johor membuat segala persiapan yang diperlukan termasuk mengaktifkan Persediaan Ops Aidilfitri 2024 bermula 3 hingga 17 April.
"Daripada segi Ops Aidilfitri yang kita buat bersama Ranhill SAJ, 27 lori tangki dan 294 tangki statik sudah digerakkan di setiap daerah. Jadi itu langkah-langkah awal berjaga-jaga supaya kalau ada isu tekanan air itu, tangki-tangki ini dan lori ini sudah digerakkan untuk mengurangkan impak kesan daripada tekanan air itu," kata Onn Hafiz kepada pemberita dalam Majlis Pelancaran Jelajah Jualan Kasih dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2024 di Dataran Datuk Jalok, Benut, di sini.
Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius isu ketiadaan air sama ada untuk kegunaan seharian rakyat mahupun sektor industri.
Prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani perkara sebegini akan disemak serta ditambah baik bagi menstabilkan bekalan air di Johor.