IPOH, 20 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah campur tangan dalam keputusan mahkamah termasuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada kesemua 17 pertuduhan.
Anwar berkata keputusan mahkamah tersebut adalah bawah kuasa penuh Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan kes itu.
"Adalah tidak munasabah untuk bersangka pentadbiran saya sama seperti pentadbiran dahulu.
"Saya tidak pernah bertemu dengan mana-mana hakim dan saya juga tidak berbincang dengan Ketua Hakim Negara mengenai keputusan mahkamah. Kita menghormati keputusan mahkamah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Lim Kit Siang: Malaysian First di sini hari ini
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar hari ini turut mengesahkan bahawa notis rayuan telah difailkan oleh Pendakwa Raya terhadap keseluruhan keputusan tersebut yang akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
BERITA BERKAITAN
- Peguam Negara fail rayuan keputusan melepas, membebaskan Rosmah
- Rosmah dibebaskan daripada 17 tuduhan pengubahan wang dan elak cukai
- AGC perlu lebih banyak masa putuskan representasi Rosmah gugur 17 pertuduhan
- Rosmah kemuka representasi baharu gugur 17 pertuduhan
- Rosmah dakwa pertuduhan pengubahan wang haram bertindih, tidak dapat perbicaraan adil