KUALA LUMPUR, 18 November - Tiada aset kerajaan digunakan untuk tujuan kempen politik ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Sabah baru-baru ini.
Perdana Menteri menegaskan semua program yang beliau hadiri di Sabah dilaksanakan sepenuhnya atas nama parti dan tidak melibatkan aset kerajaan.
Bagaimanapun peraturan kerajaan menetapkan bahawa Perdana Menteri harus menggunakan kenderaan rasmi dan pasukan keselamatan bagi semua pergerakan atas faktor keselamatan.
"Saya menggunakan kenderaan yang disediakan kerana sebagai Perdana Menteri, terdapat kelonggaran untuk menggunakan pasukan keselamatan dan kenderaan rasmi dalam apa jua program atas faktor keselamatan.
"Namun bagi program kempen, ia bukan program kerajaan. Sebab itu saya melarang penganjuran program Temu Anwar di universiti. Saya membatalkan dan memindahkan lokasinya kerana saya tidak mahu universiti terlibat secara rasmi menganjurkan program itu bersama mahasiswa," katanya.
Perdana Menteri menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat berkenaan penggunaan aset kerajaan ketika beliau di Sabah.