fb fb fb fb fb

Tiada arahan wajib suntikan dos penggalak - Fahmi

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 18 Disember- Tiada arahan yang mewajibkan rakyat Malaysia mengambil suntikan dos penggalak vaksin, susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) buat masa ini hanya menggalakkan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin COVID-19 terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi.

"Ini sedikit salah faham yang berlaku akibat media sosial. Sebelum kita sebar maklumat, tolong pastikan kandungan sebenar. Kadang-kadang antara tajuk dan isi kandungan agak berbeza, dan saya sarankan supaya kita teliti dahulu (kandungan)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara BERNAMA dan agensi berita Xinhua di sini.

Fahmi juga berkata, beliau akan bertemu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi memudahkan KKM berjumpa dengan penyunting berita, ketua pengarang akhbar dan media dalam memperjelas isu berkaitan dos penggalak.

"Saya akan pastikan (dan) sampaikan pandangan saya kepada Menteri Kesihatan nanti, untuk diadakan pertemuan dengan rakan-rakan editor (penyunting) supaya dapat dijelaskan beberapa perkara," katanya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA