fb fb fb fb fb

Tiada aduan perlanggaran SHMMP di KL

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 April-Tiada aduan berhubung perlanggaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024, setakat hari pertama pelaksanaan skim tersebut itu di premis sekitar Kuala Lumpur.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL), Ariffin Samsudin berkata pihaknya optimis peniaga akan terus mematuhi pelaksanaan skim harga tersebut.

Ia berkuat kuasa selama 15 hari sehingga 19 April depan.

Beliau turut memuji tindakan beberapa peniaga yang secara sukarela menjual barangan pada harga lebih rendah berbanding harga maksimum yang ditetapkan.

"Dah beberapa kali kita buat skim harga musim perayaan ini. Kita dapati di Kuala Lumpur, kebanyakannya boleh dikatakan semua pasar raya di Kuala Lumpur mematuhi peraturan yang telah kita tetapkan.

"Bila musim SHMMP, kita akan fokus 'pink tag' barangan yang telah kita tetapkan harga maksimum.

"Kalau tak ada 'pink tag' atau harga melebihi yang ditetapkan, kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas sesi tinjauan SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2024 di sebuah pasar raya di sini.

Tegasnya, peniaga yang gagal mematuhi skim harga barangan terkawal itu bakal berdepan tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Tambahnya, sebanyak 22 jenis barangan disenaraikan dalam pelaksanaan SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2024 di seluruh negara.

Antaranya daging lembu tempatan, daging kerbau import, cili merah, bawang besar merah import, bawang putih, kelapa parut dan ikan kembung.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM