BATU CAVES, 24 Januari- Orang ramai dinasihat menggunakan pengangkutan awam untuk menghadiri kuil sempena perayaan Thaipusam.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata ini bertujuan memastikan kelancaran lalu lintas susulan jangkaan dua juta penganut Hindu dan pengunjung yang dijangka membanjiri Batu Caves, esok.
"Kami nasihat semua berhati-hati dengan barangan berharga dan jangan leka dan simpan dimana-mana. Dan bagi pihak polis rondaan berterusan untuk jaga keamanan, ikut syif setiap lapan jam untuk satu syif, elakkan perkara-perkara yang tidak baik berlaku pada esok," katanya ketika menghadiri program 'Community Policing Thaneer Panthal' di sini.
Tambahnya, seramai 1,600 anggota polis diatur gerak bagi mengawal keselamatan di sekitar Batu Caves sepanjang perayaan berlangsung.
Isnin lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut memaklumkan sebanyak tujuh jalan akan ditutup mengikut keadaan semasa.
Ini termasuk di simpang tiga Jalan Bunga Raya menghala ke Batu Caves, lampu isyarat Jalan Station selain susur dari arah Bulatan Batu Caves Jalan Lingkaran Tengah (MRR) 2 menghala ke kuil.