
KUALA LUMPUR, 1 FEBRUARI – Tahap keselamatan sempena perayaan Thaipusam di Batu Caves hari ini berada dalam keadaan terkawal dengan tiada sebarang insiden besar dilaporkan.
- Keselamatan Thaipusam di Batu Caves terkawal tanpa insiden besar dilaporkan.
- Ops Palu melibatkan kira-kira 1,400 anggota PDRM bertugas 24 jam dan pembahagian kawasan kepada empat zon.
- Operasi dibantu 275 anggota agensi lain dan kerjasama orang ramai serta kontinjen trafik negeri dipuji.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata penugasan Ops Palu yang bermula 30 Januari lalu sehingga 3 Februari ini melibatkan kira-kira 1,400 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas secara 24 jam.
“Setakat ini insiden-insiden adalah perkara-perkara kecil yang berlaku, semuanya berada di dalam kawalan yang baik dan kita telah mengambil tindakan-tindakan yang perlu,” katanya dalam sidang media di Batu Caves.
Menurut beliau, kawasan Batu Caves dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon A, B, C dan D bagi melancarkan kawalan keselamatan, dengan setiap syif melibatkan lebih 400 anggota.
Selain PDRM, operasi keselamatan turut dibantu oleh 275 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bulan Sabit Merah serta Jabatan Kerja Raya.
Dalam pada itu, PDRM menganggarkan antara 1.4 hingga 1.5 juta pengunjung hadir ke Batu Caves bagi menyertai sambutan Thaipusam tahun ini.
Beliau turut memuji kerjasama orang ramai serta komitmen tinggi petugas keselamatan termasuk bantuan kontinjen trafik dari Selangor, Negeri Sembilan dan Perak bagi melancarkan kawalan lalu lintas sepanjang tempoh perayaan.