fb fb fb fb fb

TH meterai perjanjian kontrak jangka panjang, kawal peningkatan kos haji

Syed Hamadah Syed Othman

KUALA LUMPUR, 19 Januari- Lembaga Tabung Haji (TH) telah memeterai perjanjian kontrak jangka panjang melibatkan penerbangan, penginapan, sajian makanan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman, ia dilakukan bagi tujuan mengawal peningkatan kos haji.

"Walaupun berlaku kenaikan kos haji, namun Tabung Haji tetap mencari kaedah terbaik mengimbangi usaha memberikan perkhidmatan cemerlang demi kebajikan jemaah haji negara.

"Di samping itu, mengekalkan kelestarian kedudukan kewangan Tabung Haji," katanya pada sidang media Pengumuman Surat Tawaran dan Bayaran Haji 1445H/2024M di Menara TH di sini.

Tambahnya lagi, seramai 31,600 jemaah layak menunaikan haji tahun ini dengan dijangkakan 40 peratus daripadanya adalah kumpulan B40, manakala 58 peratus terdiri dalam kumpulan M40 dan selebihnya kumpulan T20.

Sejak 2001, TH membelanjakan sejumlah RM2.4 bilion bagi Bantuan Kewangan Haji dan dijangka membiayai kos sebanyak RM350.1 juta bagi musim haji tahun ini.

SITI AISHAH BINTI MD ISA