fb fb fb fb fb

TH keluar surat tawaran haji kepada lebih 31,000 jemaah

FOTO HIASAN/FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 19 Januari -Lembaga Tabung Haji (TH)  mula mengeluarkan Surat Tawaran Haji kepada 31,600 jemaah haji bagi tahun 1445H/2024M bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman  berkata, bakal haji perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THIJARI atau untuk kes-kes tertentu boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan.

Katanya juga, kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji kali ini meningkat lapan peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun lepas.

"Kos Haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji 1445H/2024M meningkat lapan peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun 1444H/2023M.

"Sehubungan itu, kadar bayaran Haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM12,356 seorang. Kadar ini telah mengambil kira keprihatinan Kerajaan Malaysia terhadap bakal haji kumpulan B40 di mana kerajaan akan menanggung sebanyak RM1,000 seorang", katanya ketika bercakap pada sidang media pengumuman Surat Tawaran dan Bayaran Haji 2024 di Menara Tabung Haji di sini. 

Tambah Syed Hamadah, TH juga akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji Bersasar untuk bakal haji Muassasah daripada kalangan B40 dan M40 pada tahun ini walaupun terdapat peningkatan kos menunaikan ibadat haji. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD