fb fb fb fb fb

Jemaah terkandas di Mekah, TH akan siasat

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 11 Mei- Menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada Lembaga Tabung Haji (TH) adalah menjadi satu kesalahan dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum akan kejadian yang menimpa 300 bakal jemaah haji yang terkandas di Mekah ketika ini akibat terpedaya dengan pakej haji murah yang ditawarkan agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut bersimpati atas nasib yang menimpa mangsa-mangsa tersebut dan telah mengarahkan pihak TH untuk meneliti perkara berkenaan untuk siasatan lebih lanjut.

Justeru, pihaknya ingin menasihatkan kepada semua mangsa yang terlibat itu untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan khidmat nasihat.

"TH sentiasa memberi peringatan kepada umat Islam negara supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH.

"Selain itu, TH juga telah melantik 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1445 Hijrah bersamaan 2024 Masihi dan ini adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun.

"Oleh itu, umat Islam adalah dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat yang dilantik sebagai PJH oleh pihak TH sahaja," menurut kenyataan tersebut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM