fb fb fb fb fb

Terminal khas haji dan umrah di KLIA, permudah urusan jemaah haji Malaysia

Ketua Rombongan Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman

MEKAH, 24 Mei- Insiatif memperkenal terminal khas Haji dan Umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, amat dialu-alukan.
 
Menurut Ketua Rombongan Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, sekiranya ia dilaksanakan, pelepasan imigresen Arab Saudi dapat dibuat di Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Tanah Suci.
 
"Secara umumnya, kita menyambut baik. Kita akan usaha perkara ini dan kita melihat ia sebagai satu penyambungan daripada apa yang telah dinikmati oleh jemaah haji Malaysia sejak 2017, iaitu projek Mekah Route," kata Datuk Seri Syed Saleh kepada pemberita.
 
Menerusinya, proses pemeriksaan imigresen untuk Jemaah umrah juga dapat dilaksanakan bermula dari KLIA lagi.
 
Sekiranya ia dilaksanakan, Malaysia akan menjadi negara pertama yang berjaya mewujudkan terminal khas bagi haji dan umrah. 
 
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan sedang mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Arab Saudi berhubung perkara tersebut.
 
Anthony membuat lawatan ke Arab Saudi sempena Forum Masa Depan Penerbangan (Future Aviation Forum).

Dalam pada itu, 58 jemaah haji dari kumpulan penerbangan KT43 dijangka tiba di Madinah malam tadi.
 
Kumpulan itu merupakan sebahagian daripada 353 jemaah haji yang berdepan kelewatan penerbangan disebabkan pesawat khas mengalami kerosakan teknikal.

Ia merupakan hasil tindakan pantas pihak TH berbincang dengan syarikat Saudi Airlines bagi menyediakan pesawat gantian.
 
Setakat ini, sebanyak 43 daripada 100 penerbangan membawa Jemaah haji telah tiba di Madinah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM